28 March 2010

Suatu Ketika ke Kafe..


Assalamualaikum wa rahmatullah. Semoga rakan-rakan berada dalam keadaan sihat sejahtera dan semoga berada dalam bimbingan Allah.

Dalam tempoh saya mem‘pause’kan pembelajaran saya sejak habis dari kolej tahun lepas, saya dapati ada sesuatu yang berlaku dalam diri. Ya, kesedaran saya dan pemikiran saya berubah arah dan corak. Sebenarnya, perkara ini mula bermain-main di kepala sejak akhir tahun saya di kolej.

Kesedaran.

“baru aku tahu, umur duapuluhan ni sangat bahaya”. Ungkapan yang saya tak jangka akan keluar dari mulut seorang teman sekuliah. Saya terpana seketika, berfikir betapa benarnya kata-kata beliau. Sambil berjalan beriringan ke kafe, saya sempat meliriknya, memandangnya, tiba-tiba menjadi redup pandangan saya. Saya dapat rasakan, dalam dirinya sedang berlaku perang yang maha dahsyat sebagaimana yang saya alami. Dia pernah bercerita kepada saya, dia selalu rasa sakit hati, dirinya selalu rasa putus asa, dia juga sering terkontang-kanting dengan suasana. “pedih la hidup ni, razi”. Saya tak sanggup nak dengar bila dia berbahasa seperti itu, tertunduk saya sebentar menghela nafas. Saya faham apa masalah dia, sebab saya juga seperti dia; kami remaja yang berumur dua pulahan. Satu peringkat yang sangat kritikal dan genting dalam hayat seseorang baginya, dan bagi saya juga.

Antara saya dan dia, ada banyak persamaan. Pertamanya, sudah tentu kami ini lelaki. Keduanya, kami anak sulung. Ketiganya, kami teman dan rakan sekuliah dan se‘esaimen’. Keempatnya, umur kami sama. Kelima, kami ‘agak skema’ kot. Dan cukuplah yang keenam sebagai penutup, kami orang Islam. Kehadiran beliau dalam hidup saya, hanya saya rasai pada akhir semester saya di kolej.

Saya berani kata, apa yang membuat kami rasa agak tertekan dengan hidup ini, adalah kerana kami menggalas title ‘anak lelaki dan anak sulung’. Title ini membuatkan kami berasa perlu bertanggungjawab terhadap seisi keluarga pada masa hadapan. Bagaimana kehidupan ibu dan ayah, bagaimana kehidupan adik-adik yang lain. Kerunsingan kami ini membuatkan kami perlu fokus kepada pelajaran kerana kami percaya dan kerana kami dengar nasihat orang tua, bahawa ilmu akan membawa kebaikan kepada keluarga. Akhirnya, harga yang terpaksa kami bayar; kami tidak ramai kawan kerana kami kurang bersosial.

Back to the point, kesedaran.

Kesedaran yang dikatakan betul-betul sedar, adalah lahir dari hati dan jiwa yang berpegang teguh kepada pautan yang kukuh. Rasa awas terhadap kadar pegangan sesuatu nilai hidup, menjadi kayu ukur kepada aktiviti hidupnya; itulah kesedaran. Bagi mereka yang tiada kesedaran atau kurang kesedaran, puncanya satu sahaja; nilai hidup yang dipegangnya itu tidak jelas atau berterabur atau terus tidak ada langsung.

Ya. Bagi teman saya itu yang sudah sedia tergalas tanggungjawab dan harapan keluarga, beliau sedar yang beliau kini sedang meniti usia yang penuh onak dan duri. Lihatlah kini, betapa ramai remaja seangkatan kita di luar sana yang saya pun tak tahu nak cakap apa, mana tahu saya tergolong dari kalangan mereka. Saya sendiri akui bahawa saya takut menghadapi hari esok; entah apa ujian dan mehnah yang akan menduga diri, entah apa bentuk badai dan ribut yang akan menjengah. Takut-takut tewas, takut-takut kalah dan mengalah, takut-takut lemas dan hanyut. Mana tidaknya; soal hati, soal kredibiliti, soal karier, soal pelajaran, soal wang. Semua harus dihitung secermat yang mampu. Dan kesemuanya adalah tuntutan yang dianggap penting bagi seorang lelaki, kami lah tu. Soal hati? Tak perlu cerita.

Berat.

Kami sedar yang kami hidup berteman amanah dan tanggungjawab. Kami sedar masa amat pantas berlari. Kami sedar bahawa kami perlu dan mesti bekerja keras. Kami sedar yang kami harus fokus dan tumpu pada matlamat. Kami juga sedar bahawa pada masa yang sama kami tidak boleh biarkan suasana melarutkan kami. Kami sedar bahawa betapa gentingnya realiti dunia sekarang. Kami sedar, jikalau kami tidak bertindak awal, kami akan ketinggalan. Kami sedar, kami perlu pandang jauh kehadapan. Kami sedar, yang suatu hari nanti kami akan jadi dewasa; perlu ada keluarga, perlu ada apa yang patut ada. Kami sedar, semakin kami membesar, semakin bertambah tanggungjawab. “humph”. Mengeluh kecil teman saya itu. Benar, rasa berat bukan hidup ini?

Biarkan kesedaran itu timbul. Dan biar kesedaran itu memacu amal dan usaha. Di sinilah baru terlihat peranan kesedaran itu. Pohon amal itu, kesedaran; rerantingnya adalah ilmu; dedaunnya adalah kefahaman; buahnya adalah amal; maka benihnya adalah dari hati yang hidup. Andai benih mati dan rosak, masakan pohon itu tumbuh dan hidup subur.

Akhir bicara dari saya; arigato, sahabatku..
Sudi-sudilah 'Like' post ni..

No comments: