18 March 2010

Ikan Pekasam


As-salamualaikum wa rahmatullah... al-hamdulillah, wa ash-sholatu wa as-salaam `ala rasulillah...


Semoga rakan-rakan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera, dan semoga kalian semua berada dalam bimbingan dan petunjuk Allah.


Ada satu ketika, kita menyedari bahawa diri ini terlalu banyak kelemahan. Terlalu banyak melakukan kesilapan. Terlalu banyak melepaskan peluang. Saat itu kita akan sesali satu demi satu perkara yang telah dilalui. Mahu saja diundur masa memperbetulkannya, agar semuanya berjalan dengan sempurna dan baik. Namun, kudrat sebagai seorang manusia, makhluk dan hamba membatasi segalanya. Masa depan masih lagi tidak diketahui dan pastinya ia akan datang kepada kita. Dan sekali lagi, kita putikkan harapan agar yang mendatang ini akan lebih baik dari yang lepas.


Sekarang ini, saat yang kita hidup tika ini; adalah harapan sesaat sebelum sekarang, harapan semalam, harapan seminggu lepas, semangat sebulan lepas, iltizam tahun lepas, dan cita-cita sepuluh tahun lepas. Ya. Dan bagi mereka yang insaf, mereka akan bertanya pada diri mereka sendiri, “sejauh mana ia terlunas sehingga saat ini?”. Satu ketika dahulu masa saya masih kanak-kanak, al-marhumah nenek saya selalu bertanyakan saya, “Ji….esok besar Aji nak jadi apa?” “urmm..esok besar, Aji nak jadi tukang urut, Aji nak jadi engineer, Aji nak jadi doktor, Aji nak jadi cikgu, Aji nak jadi perdana menteri, Aji nak jadi usahawan” “banyaknya cita-cita Aji…hurmm..kalau macam tu, Aji kena belajar rajin-rajin, jangan malas-malas, nanti biar pandai, ha..lepas tu Aji boleh jadi engineer, Aji boleh jadi cikgu..”.


Nak jadi dan nak jadi.


Zaman kanak-kanak, semua benda mahu jadi. Jadi itu, jadi ini. Rasa seronok melontar ayat dan rasa bahagia berimaginasi ketika itu. Dan kembali kepada realiti kita saat menatap page ini, sudah lebih dari tiga belas tahun masa meninggalkan dari detik tersebut. Dalam tempoh itu, macam-macam yang telah dilalui. Sehingga tempoh tiga belas tahun itu menjadikan kita yang sekarang ini. Terasa sekejap bukan. Dulu kita kanak-kanak hingusan bermain tanah dan lumpur, dan sekarang kita sudah besar, seorang remaja juga seorang dewasa muda. Cuba kita ambil masa sebentar, duduk di pepenjuru rumah, renung dan buka kembali riwayat hidup kita setakat ini. “Sejauh mana yang telah aku pergi? Sebanyak mana yang telah aku peroleh? Setinggi mana yang telah aku capai?”. Saya mengaku, bila saya jawab soalan ini, saya berasa tiapa apa-apa yang telah saya raih selama ini. Bahkan, saya rasa tertekan kerana banyak lagi tuntutan hidup yang belum terlaksana. Itu satu hakikat bagi saya.


Untuk menjawab soalan ini, bagi saya, kita perlu melihat dari dua sudut yang berbeza. Sudut pertama, kita harus terima bahawa semua itu adalah anugerah Allah. Allah berhak untuk segalanya. Perancangan, perlaksanaan dan kadar adalah di bawah kuasa mutlak Allah. Kita tak boleh pertikai dari sudut ini. Itu dari sudut pertama.


Yang kedua adalah diri kita sendiri. Ya, sikap kita. Persoalkan sikap kita selama ini. Adakah sikap kita selari dengan impian kita selama tempoh tiga belas tahun lepas? Ataukah sikap kita melintang arah dari cita-cita ‘nak jadi, nak jadi dan nak jadi’? Jawablah jujur, jangan tipu hati dan diri kita. Jawapan saya; ya, dalam tempoh tiga belas tahun itu, cerita hidup saya tak semuanya terarah kepada matlamat dan cita-cita.


Sikap.


Satu persoalan besar dalam hidup kita. Oleh kerana sikap saya sendiri juga tidak sebetul mana, jadi adalah lebih elok saya kongsikan seperanggan kata dari tulisan Dr Ibrahim Al-Qua'yyid dalam karangannya berjudul 10 Kebiasaan Manusia Berjaya Tanpa Batasan untuk sama-sama kita renungi. Katanya;


“Kejayaan adalah sejumlah kebiasaan yang harus dilakukan dengan baik kerana kebiasaan dan penerapannya atau pelaksanaannya dalam kehidupan itulah yang akan menentukan keberhasilan atau kejayaan seseoarang baik berkaitan dengan status sosial, kedudukan ataupun keahlian dalam melakukan tugas.”


Jadi, bagaimana? Teruskan berfikir, teruskan merenung dan buatlah apa yang selayaknya kita harus buat.


Tambahan.


Impian yang kita simpan dulu; kita akan selalu tanamnya dalam hati, dan bilamana kita bicarakannya kita tersenyum terkenangnya, terhibur dan seronok mengimaginasikannya kembali. Serupa seperti ikan pekasam; semakin lama diperap dalam tempayan, lagi sedap kalau dimakannya akan datang. Oleh itu seruan saya, simpanlah segala cita-cita, impian, dan harapan anda, semakin lama anda simpan (tak payah jadikannya realiti), tentu lebih seronok dan tergelak seorang-seorang menemani kesunyian hari tua anda.


Salam ikan pekasam.

Sudi-sudilah 'Like' post ni..

No comments: