31 January 2011

Suara & Demokrasi; Sedikit Komen

Assalamualaikum wa rahmatullah. Syukur, Alhamdulillah, Allah S.W.T sekali lagi memberi izinNya dan sedikit kesempatan kepada saya untuk meluangkan masa di hadapan ismirazi dot blogspot dot com ini.


Buat rakan-rakan maya sekalian, apa khabar? Sihat? Saya doakan, semoga rakan-rakan berada dalam keadaan sihat wal afiat dan semoga berada dalam bimbingan dan petunjuk Allah S.W.T.


Hari ini, Alhamdulillah, saya baru saja memulakan cuti pertengahan semester walaupun hakikatnya masih lagi belum berada di tengah-tengah semester. Lebih kurang pukul 5 petang saya sampai di Terminal Perhentian Bas Larkin. Sepanjang perjalanan, hujan menemani. Sekejap renyai dan sekejap lebat. Air sudah mula membanjiri lading-ladang sawit di sebelah highway. Ditambah dengan deruan air-cond, saya kesejukan sampai tak boleh nak tidur.


Sambil melayan kesejukan, dari asyik merenung keluar dari jendela bas mengira titisan hujan yang jatuh ke bumi, saya capai surat kabar yang saya sempat beli sebelum memulakan perjalanan tadi untuk dibaca. Ada satu kolum yang menarik perhatian saya. Klik di sini.


Secara ringkasnya setakat apa yang saya faham dari artikel ini, isinya berkisar tentang kebebasan bersuara di kalangan rakyat. Kebebasan itu secara umumnya yang kita faham adalah kita boleh melakukan apa sahaja tanpa ada sekatan dan halangan. Namun, dalam Islam ada hadnya. Selagi mana tidak merosakkan masa depan akhirat kita dan tidak merosakkan masyarakat, maka dibolehkan.


Perkara yang dibincangkan dalam artikel tersebut lebih menekankan kepada kebebasan bersuara melalui saluran internet dan media, di mana kerajaan mahu menambah peruntukan di dalam Akta Komunikasi & Multimedia 1998 berkaitan dengan undang-undang bersuara di internet.


Demokrasi.


Malaysia mengamalkan system demokrasi di mana pendapat majority adalah yang utama. Demokrasi meletakkan kuasa pemerintahan Negara di tangan rakyatnya sendiri untuk memilih dari kalangan mereka pemimpin-pemimpin yang akan kembali memimpin rakyat. Semuanya melibatkan pilihan rakyat. Dan cara untuk tahu apakah pilihan rakyat itu ialah dengan rakyat bersuara. Pilihan raya, hantar memorandum, tunjuk perasaan, perhimpunan aman; adalah salah satu daripada cara untuk mengudarakan suara rakyat.


Apabila rakyat bersuara, maka kita akan dapat lihat sebagaimana yang terjadi di Tunisia, Mesir, Algeria, Jordan, dan beberapa tempat lain di Timur Tengah. Saya yakin, mereka punya sebab tersendiri mengapa mereka boleh bertindak sampai peringkat begitu. Hebat!


Dalam konteks Negara kita, pada pendapat saya; demokrasi tidaklah diamalkan secara menyeluruh dan mengikut lunas ruh demokrasi itu sendiri. Lihat saja di kaca televisyen; mediawan-mediawan amat tidak tulus dan adil dalam menyampaikan berita semasa. Diskriminasi bagai sudah tidak boleh dikawal. Orang yang bijak bukan hanya mencari jawapan dan sumber dari satu tempat saja, tapi mengambil jawapan dari pelbagai sumber dan pandangan. Dari itu, akan wujud satu keseimbangan maklumat dan seterusnya pertimbangan dan keputusan yang bijak dapat dibuat oleh rakyat; sama ada baikkah, atau burukkah.


Kebebeasan bersuara nampaknya didominasi oleh golongan tertentu di Negara kita. Televisyen, suratkhabar, dan radio telah dipegang oleh pihak tertentu, lalu mereka menjalankan segala arahan si pemegang; seperti lembu dicucuk hidung, atau pun seperti anjing yang diikat leher. Sebab itulah, baru sedikit pihak lain mengeluarkan kenyataan yang pedas; saman situ saman sini. Tapi kalau dia yang buat tidak mengapa pula.


Satu-satunya saluran golongan tersebut yang masih tidak boleh dikuasai adalah internet. Status-status facebook, blog-blog, web-web setakat ini masih lagi bebas untuk cakap apa saja. Mungkin atas sebab inilah, kerajaan mahu mengadakan undang-undang internet. Semuanya mahu dikekang dan dikawal. Mereka mahu kawal suara rakyat dengan undang-undang. Kebaikan kembali kepada ketuanan politik mereka. Rakyat semakin tiada medium untuk mengutarakan kritikan dan bidasan. Mana-mana suara yang agak lantang akan ditangkap, apatah lagi tunjuk perasaan dan perhimpunan aman.


Ini belum lagi cerita mengenai hak kemahasiswaan. Sila rujuk link ini untuk pembacaan lanjut.Klik di sini.


Cukuplah setakat ini saja kali ini. Jumpa lagi!


Sudi-sudilah 'Like' post ni..