28 December 2010

Syadid



Assalamualaikum, didoakan semoga rakan-rakan hari ini berada dalam keadaaan sihat dan semoga berada dalam payungan rahmat Allah S.W.T.


Masa saya masih berada di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dahulu, saya selalu dengar rungutan dari rakan-rakan seangkatan, senior mahupun junior. Rungutan yang diberikan selalu berkaitan dengan HEP, bahagian pentadbiran, dan macam-macam lagi. Itu perkara biasalah; setiap institusi mesti ada saja pelajarnya yang tak puas hati; apa yang tak dipuashatikan itu tak tahulah.


Tapi ada satu rungutan yang saya sendiri dengar tak berapa nak senang. Perkataan-perkataan mereka itu berkisar tentang diri pensyarah. Mereka kata, “ustazah tu SYADID, ustazah ni SYADID, ustaz tu SYADID, ustaz ni SYADID”. Saya tak faham apa yang mereka maksudkan dengan SYADID itu. Bukan setakat pensyarah saja yang mereka cop dengan SYADID ini, bahkan pelajar-pelajar yang nampak warak juga turut terkena.


Ada dalam al-Quran, Allah S.W.T nyatakan bahawa sikap SYADID itu dipraktikkan adalah untuk orang kafir, bukan untuk sesama orang Islam. “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” Al-Fath:29.


Saya yakin, mereka yang dilabel dengan istilah SYADID itu sebenarnya hanya mahu mempraktikkan Islam dalam kehidupan. Mereka mahu hidup dalam nafas Islam. Mereka mahu bergerak dalam landasan Islam. Mereka cuma mahu menjadikan diri masing-masing seorang muslim yang benar-benar muslim sebagaimana yang dituntut oleh Allah S.W.T dan RasulNya.


Seharusnya kita mengikut jejak mereka, bukan mendiskriminasikan. Kita contohi mereka dalam kesungguhan mereka beramal, kita menteladani kehalusan peribadi mereka. Bukankah itu lebih baik?


Tapi sayang, tindakan mereka telah disalahtafsirkan. Istilah SYADID untuk seseorang muslim yang berusaha mengamalkan gaya hidup seorang muslim yang sebenar adalah satu tindakan yang tidak adil bagi saya. Mereka Cuma patuh perintah Allah dan RasulNya, itu saja.



Mungkin bagi mereka yang mengecop SYADID itu, SYADID itu adalah satu bentuk ketegasan. Mungkin ketegasan dalam menanda kertas peperiksaan yang menyebabkan mereka gagal, atau mungkin juga mereka tidak boleh masuk kuliah sebab lambat datang, atau mungkin juga mereka kena halau dari kelas kerana bau rokok, atau mungkin mereka selalu kena paku sebab tak pergi masjid sekalipun masjid tu Cuma sekangkang kera dari asrama.


Kalaulah masalah ini hanya berpunca dari makna yang terkandung dalam istilah SYADID itu, maka saya rasa adalah terbaik untuk diserahkan persoalan ini kepada pelajar BATI, kan? Heheh.


Situasi ini sebenanya saya dapati bukan hanya berlegar dikalangan pelajar sahaja, bahkan ia berlaku di peringkat dunia. Orang-rang yang cuba untuk mengamalkan Islam yang sebenarnya dianggap memperkudakan agama; menjadikan Islam sebagai alat memancing undi; dituduh membuat bid’ah dan bermacam-macam lagi tuduhan yang amat tidak patut diberi kepada orang Islam.


Apa yang penting di sini, tak molek untuk kita melabel mereka yang cuba menjadikan Islam sebagai style hidup mereka yang sebenarnya. Kita harus sokong mereka, dan kita harus bergabung dengan mereka. Tapi sebagaimana yang saya katakan sebelum ini; ada orang yang Allah panaskan hatinya dengan Islam, dan ada juga orang yang Allah lapangkan hatinya dengan Islam.


Jadi, marilah kita sama-sama didik hati dan diri untuk rasa selesa dengan Islam.


Sudi-sudilah 'Like' post ni..

No comments: