Assalamualaikum rakan-rakan. Apa khabar? Semoga kalian berada dalam keadaan sihat-sihat selalu, insyaAllah.
Dalam kesibukan mengulangkaji pelajaran yang sebenarnya tak lah sesibuk mana hari tu, tiba-tiba ada satu perkara yang terlintas dan bermain-main di fikiran saya. Saya teringat kembali akan cita-cita saya yang saya anggap sendiri, itu adalah satu perkara yang mulia dan terpuji di sisi Allah S.W.T.
Memulangkan kembali Palestin ke tangan umat Islam.
Ya, saya satu ketika dahulu (dan kini juga) berazam dan bercita-cita kuat mahu menjadi seseorang yang boleh membebaskan tanah mi’raj itu; berazam untuk membersihkannya dari orang-orang yahudi, berazam untuk mengembalikan kegemilangannya suatu ketika dahulu, dan bercita-cita untuk melihat rakyatnya yang majmuk bahagia di bawah naungan pemerintahan Islam.
Sekalipun saya sedar yang saya ini bukanlah Umar al-Khattab radhiaAllahu anhu & Salahuddin al-Ayyuubi rahimahUllah, bahkan jauh sekali dan tidak layak langsung untuk dibandingkan; tapi cukuplah bagi saya jika saya ini jadi penebas rumput untuk melapangkan jalan perjuangan mereka. Kalau penebas rumput pun tak boleh juga, jadi tukang basuh kereta mereka pun boleh juga; asalkan saya memberi sedikit pun jadilah.
Kedua mereka adalah tokoh ulung dalam sejarah Palestin. Yang membuatkan nama mereka tertulis dengan tinta emas dalam lembaran sejarah bukanlah dengan sebab kekuatan dan strategi tentera dan perang; tapi adalah disebabkan jiwa mereka, peribadi mereka, ruh mereka yang sentiasa mengalir di dalamnya taqwa dan iman; menjadi tenaga dan sumber dalam hidup dan perjuangan.
Muhasabah.
Kembali merenung kembali ke dalam diri kita. Terlalu banyak kekurangan. Terlalu banyak kelemahan. Bercita-cita hebat, tapi mari kita tanya diri kita; bagaimana solat kita? Tepat waktukah atau melengah-lengahkan? Cukupkah 5 kali sehari? Solat berjemaahnya bagaimana pula? Khusyukkah? Bagaimana dengan membaca al-Quran? Tadabburnya atau tidak? Amalkan apa yang terkandung walau sepotong ayat? Puasa kita bagaimana? Sedekah kita walau seringgit, istiqamahkah walau seminggu sekali?
Kalaulah solat sendiri pun berterabur, inikah diri dan peribadi yang mahu memperjuangkan masalah Palestin? Akhirat sendiri pun tak terjamin, bercita-cita pula mahu membebaskan Palestin. Allahu Akbar. Menjawab soalan ini, saya sendiri pun malu. Ini baru bab solat, belum bab lain lagi.
Lihat saja kepada tokoh-tokoh ulung Palestin abad moden ini; asy-Syahid Sheikh Ahmad Yasin, asy-Syahid Rantissi, NGO-NGO, dan lain-lain; saya sendiri tak tahu bagaimana mereka boleh bersedia untuk mati demi Palestin, demi Islam, dan demi Allah. Tak takut dibom, tak gentar ditembak; peluru dan ugutan hanya seolah-olah tiada apa makna.
Kalau diri kita, dengan peribadi dan jiwa yang sekarang ini; hati yang cukup pekat dan gelap dengan dunia; lalu duduk di situasi mereka; sungguh, saya sendiri patah balik rumah. Tak layak untuk menggalas tanggungjawab ini. Tanggungjawab yang hanya dipikul oleh mereka yang hanya mengharap redha Allah dan kebahagiaan di akhirat saja yang mampu. Rumah besar serba mewah, income 5 angka sebulan, tanah 6 bidang, saham beratus-ratus lot; itu semua bukan imbuhan yang dikejar, bukan matlamat yang harus dicapai, bahkan tak pernah ada pun dalam hati mereka dunia-dunia ini. Langsung tak ada tempat di hati mereka.
Astaghfirullah…
Akhir kalam, peringatan untuk diri saya terutamanya; persiapkanlah diri dan jiwa dengan taqwa dan keimanan yang sebenar-benarnya, keimanan yang menghujam di dalam hati sehingga mampu menggerakkan diri dan ruh dengannya tanpa ada rasa berat dan terpaksa. Perlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berfaedah, lalu amalkanlah dalam kehidupan seharian. Tinggalkanlah perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak membawa kita kepada syurga Allah. Ingatlah, dunia ini cuma sementara, akhirat jua yang kekal selama-lamanya; dan antara kita dan akhirat pintunya hanyalah kematian.
Semoga Allah S.W.T bimbing diri ini ke jalan yang diredhaiNya.
No comments:
Post a Comment