10 April 2010

Analisis mentah


Assalamualaikum wa rahmatullah. Alhamdulillah, wa bihi nasta`iin wa nastaghfiruhu. Ash-sholatu wa salam `ala Rasulillah wa alihi wa ashabihi ajma`in. Wa ba`ad. Semoga rakan-rakan semua berada dalam keadaan sihat dan sejahtera; dan semoga rakan-rakan sentiasa berada dalam bimbingan Allah.


Post kali ini, saya rasa terpanggil untuk berkongsi hasil pengamatan saya yang tak seberapa ke atas masyarakat Malaysia khususnya yang datang dari rumpun Melayu dan beragama Islam.


Mentaliti.


Analisis saya yang pertama di bawah frasa “mentaliti”. Bagi saya, tahap mentaliti dapat diukur melalui tingkah laku dan kecenderungan seseorang. Baik, saya kutip sepintas lalu apa yang saya perhatikan satakat saya hidup dengan “berotak” selama lebih kurang 5 tahun lepas. Apa yang saya dapat; kaum saya suka berhibur, kaum saya suka buang sampah merata-rata, kaum saya tidak bercita-cita tinggi, kaum saya kaum yang berusaha tapi cepat mengalah dan putus asa, kaum saya suka ‘style’ “alah, tak apa lah”, kaum saya semakin terhakis adab dan sopan, kaum saya semakin tak betul pertimbangannya, kaum saya amat menjaga haknya, kaum saya ambil kisah betul tentang bintang hiburan, kaum saya masih ada lagi kesedaran untuk bangun, kaum saya tak cukup kuat motivasinya, kaum saya cukup sensitif perasaannya, kaum saya selalu bergaduh, kaum saya suka buang masa, kaum saya selalu kena pijak kepala.


Saya bukan mengata kepada pihak tertentu, saya tujukan kepada diri saya sendiri. Saya berani simpulkan bahawa, mentaliti kaum Melayu perlu kepada bimbingan dan pembinaan. Dan sekarang saya lihat, kesedaran untuk bangkit mula kelihatan, syukur Alhamdulillah.


Ada satu perkara yang buat fikiran saya celaru; mentaliti membentuk suasana? Atau suasana membentuk mentaliti?


Autoriti.


Seterusnya, saya masuk ke analisis saya yang kedua di bawah perkataan “autoriti”. Autoriti kaum saya iaitu kaum Melayu, dari sudut politik dan perundangan; saya tak tahu nak cakap macam mana. Macam-macam hal pelik dan macam-macam kes aneh saya perhatikan saban hari. Kes liwat, kes “katak”, kes “Correct2”, kes Kartika, kes “16 september”, kes IFC, kes “kapal selam”, kes “Mongolia”, kes “enjin hilang”, kes “Batu Buruk”, kes “bersih”, kes “Sogo”, kes “SPRM”, kes “ihsan”, kes “royalti”, kes “tauliah”, dan terbaru kes APCO dan lagi-lagi kes yang saya tidak tersebutkan. Saya bukan apa, saya sebagai rakyat; saya risau. Apa yang saya boleh buat setakat ini ialah; perhati dan nilai kemudian “pilih”. Secara keseluruhannya, kaum Melayu masih lagi memegang autoriti utama dalam Malaysia. Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang memperjuangkannya.


Dari sudut ekonomi dan pembangunan; saya perhatikan kurang persaingan dengan kaum-kaum lain. Saya petik beberapa fakta sekunder yang saya rasa boleh dibuat sandaran, sekurang-kurangnya dapat membina kesedaran buat diri kita.



“Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.”



“Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456.”



“Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja.”



“Pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus).”



Saya ambil dari site ini, dan sila rujuk ke site tersebut untuk mengetahui selebihnya. Apa perasaan dan tanggapan rakan-rakan sekarang? Tepuk dada, jawablah sendiri.


Antarabangsa.


Menerobos analisis saya yang seterusnya, di bawah kunci kata “antarabangsa”. 1500 masihi yang lalu, kita menyaksikan dengan bayangan imaginasi bersandarkan kepada hikayat-hikayat yang mutawatir, bahawa Tanah Melayu adalah satu Negara yang terkenal di persada antarabangsa. Terkenal dengan “international trading”nya, terkenal dengan penduduknya yang berdarah usahawan. Saya berani mengatakan bahawa waktu itu adalah zaman kemuncak dan kegemilangan seluruh Kepulauan Melayu. Memang tempatnya strategik; berdiri di antara dua alam, alam timur dan alam barat. Tapi sekarang, kuasa ekonomi telah jatuh ke tangan Negara gergasi lain; Amerika, China, Jepun, Rusia, dan Hong Kong. Tanah Melayu dimanakah waktu ini? Entah. Cuba fikir betapa besar kuasa mereka, sehinggakan jikalau jatuh matawang Amerika; saham-saham seluruh dunia juga turut jatuh! Tanah Melayu juga tidak terkecuali. Ini belum lagi masuk bab kekuatan ketenteraan dan teknologi. Jauh panggang dari api.


Buat diri saya.


Jauh sudah saya menerawang, sudah tiba saya pulang ke gagang. Semua yang saya sebutkan tadi; secara tidak langsung membibitkan sedikit kesedaran buat saya. Bukan apa yang saya tonjolkan di atas bermaksud untuk merendah-rendahkan kaum Melayu saya atau mengutuk mana-mana pihak; tapi ianya sebagai “post mortem” untuk saya mengukur kembali cita-cita, usaha dan pencapaian diri semata-mata. Setakat dengan secuit kesedaran tidak akan membawa makna dalam hidup sekiranya kita tidak merasa “kebertuntutan” untuk mengubahnya. Dan rasa “kebertuntutan” juga tidak akan ke mana jika tiada usaha untuk membumikannya.


Saya seru kepada diri saya; sampai bila kamu nak duduk diam di rumah? Sampai bila kamu nak hidup disuap? Sampai bila nak duduk di bawah kuasa kafir dan zalim? sampai bila asyik nak ikut arahan-arahan mereka? sedarlah, Sekarang adalah masa untuk kita bangkit! Masih belum terlambat. Bulatkan cita-cita, bulatkan semangat, bulatkan tekad, padukan usaha. Susun semula hidup anda! Tetapkan pencapaian yang tinggi dalam hidup! gariskan perkara-perkara yang boleh anda capai matlamat anda itu! dan seterusnya, segeralah laksanakan! Jangan berlengah! Manisnya hidup bukan dengan kemewahan dan kesenangan; tapi diraih dengan pengorbanan. Memang susah, memang sakit, memang pedih, memang perit. Tapi Itulah harga sebuah kebahagiaan. Nak bahagia di dunia dan di akhirat, jalannya tetap sama; usaha dan terus berusaha tanpa henti.


Sekali lagi, Allah tidak akan mengubah kaum Melayu kita ini, melainkan kita yang mengubahnya; atau kaum kita akan terus “melayu” sampai bila-bila.


Wallahu `aalam.


Buah cempedak di luar pagar,
ambilkan galah tolong jolokkan;
saya budak baru belajar,
kalau ada salah dan khilaf harap diperbetulkan.
Sudi-sudilah 'Like' post ni..

No comments: